Cinta..Apakah Cinta


Persoalan CINTA adalah satu persoalan yang tidak dapat tidak, pasti timbul dalam fasa kehidupan kita sebagai manusia. Kesannya terhadap diri dan kehidupan seseorang yang bergelar insan adalah terlalu besar impaknya, terutama bagi anak-anak yang sedang menginjak dewasa, yang baru bertatih mengenal bagaimana rasanya CINTA. Kuasa dan powernya CINTA, terlalu hebat untuk kita menidakkan haknya dalam hidup kita seharian.
Oleh itu, mengenalinya adalah sangat penting untuk kita mengurusi dan menanganinya sebelum CINTA itu bisa menguasai kita, dan kita lemas di dalamnya.
Maksud cinta dari kamus Dewan:
1. Perasaan dan berperasaan sayangkan sesuatu
2. Perasaan dan berperasaan berahikan sesuatu
3. Perasaan dan berperasaan risau, bimbang, dukacitakan sesuatu.
MasyaAllah, begitulah hebatnya C I N T A. Segala bentuk perasaan terangkum dalam satu kalimat ‘CINTA’.
Hebat, tak hebatnya cinta?
Dengan CINTA, manusia mendapat kekuatan untuk membuktikan sesuatu. Dengan kuasa CINTA, manusia akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan pada yang dicintai, betapa dia berupaya untuk melakukan apa saja.
Aku Hebat. Aku Boleh. Aku Tak Kurangnya.
Begitulah penangan CINTA.
Kata-kata pujangga dalam syair dan lagu, banyak membawa mesej seumpama ini. Lihat saja contoh dari Amy Search dengan lagunya Fantasia Bulan Madu;

Demi cintaku padamu
Ke mana pun kau kan ku bawa
Ke hujung dunia ke bintang Kejora….
Demi cintaku pada mu
Ku korbankan jiwa dan raga
Biarpun harus ku telan, lautan bara….
Percayakah kita pada bait-bait lagu tersebut? Siapakah yang sanggup menelan ‘lautan bara’, bila walau seketul pun cuma, kita tak rela menggenggamnya? Tapi, itulah semangatnya CINTA. Itulah gambaran ‘The Power of Love’.
Manusia berkuasa dengan cinta, bila dicintai.
Orang yang dicintai akan merasa dia berkuasa atas si dia yang menyintainya, lalu, situasi itu akan dimanipulasinya mengikut kehendak dan nafsunya sendiri.
Manakala manusia menjadi hamba kerana cinta,
bila sudah terlalu menyintai, mabuk, asyik dan overdose dengan CINTA sehingga lupa diri, menuruti kehendak orang yang dicintai secara membuta tuli.
Benar sekali pepatah Arab yang berbunyi;
“Seseorang itu menjadi hamba kepada apa atau siapa yang dicintainya”
Maka jadilah yang berkuasa meminta apa sahaja, kerana merasa diri amat berharga, lalu seringkali yang berlaku adalah penyalahgunaan kuasa tersebut.
Dan jadilah yang menyintai sebagai hamba yang sanggup berbuat apa saja, memberi dan menggadai apa jua, demi kerana CINTA, ikut semahunya umpama lembu yang dicucuk hidung.
Begitulah hebatnya kuasa CINTA!

Tiada ulasan: